APRIL 2024

SUEF Bantu Perkasa Pendidikan Anak Sarawak


KUCHING: Sebanyak RM3.57 juta berjaya dikumpul hasil sumbangan sektor swasta untuk Dana Pendidikan Perpaduan Sarawak (SUEF) bagi membantu anak-anak Sarawak melanjutkan pelajaran.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, SUEF adalah bertepatan dengan aspirasi Sarawak yang mengutamakan pembangunan bakat dan modal insan.

Katanya, pembangunan bakat dan modal insan merupakan komponen kritikal bagi menyokong peralihan Sarawak ke arah ekonomi baharu berasaskan tenaga hijau, hidrogen dan teknologi digital.

“SUEF untuk menyediakan bantuan kewangan  bagi menyokong anak-anak Sarawak yang layak, berbakat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan memperoleh kemahiran di institusi yang diiktiraf,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian di Sheraton Hotel petang tadi.

Abang Johari menambah, dana itu adalah sebagai perangsang bagi mengembangkan, membangun dan membentuk bakat Sarawak dan generasi muda untuk memimpin pada masa hadapan sekaligus menjadi penyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran Sarawak.

Anak-anak Sarawak yang berkelayakan boleh memohon bantuan menerusi laman sesawang yang akan dibuka pada September nanti.

Hadir sama Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Penasihat SUEF Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain dan Pengerusi SUEF Datuk Richard Lee Say.